1 MAC : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan agihan dividen tahun 2024 sebanyak 6.3 peratus bagi simpanan konvensional dan simpanan shariah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata agihan pendapatan itu melibatkan jumlah RM73.24 bilion dengan RM63.05 bilion bagi simpanan konvensional dan RM10.19 bilion bagi simpanan shariah.
“Ahli menyimpan dalam KWSP sepanjang kerjaya mereka selama 30 hingga 40 tahun, jadi apa yang benar-benar penting ialah pulangan jangka panjang.
“Kami berbesar hati untuk menunjukkan bahawa kadar dividen jangka panjang, yang ditetapkan setiap tahun untuk KWSP adalah agak stabil sejak dua dekad yang lalu,” katanya pada sesi taklimat prestasi kewangan KWSP 2024 di Shah Alam, hari ini.
Pencarum boleh mula membuat semakan terhadap penyata terkini mereka esok dan lebih digalakkan menyemak menerusi aplikasi KWSP, i-Akuan.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata agihan kadar dividen KWSP yang lebih tinggi bagi tahun 2024 itu didorong pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang berhemah.
“Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli.
“Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi.
“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024 serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan,” katanya, lapor BH.
Kadar dividen bagi tahun 2023 yang diagihkan sebanyak 5.5% untuk simpanan konvensional, an 5.4% untuk simpanan shariah membabitkan agihan pendapatan sebanyak RM57.81 bilion.
KWSP kini mempunyai sekitar 16 juta ahli dengan lebih 8.5 juta daripadanya adalah pencarum aktif.