4 MAC : Kerajaan masih belum ada sebarang perancangan untuk melaksanakan ujian air kencing bagi sebarang penganjuran konsert di negara ini.
Namun Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meneliti keperluan dan kesesuaian bagi sebarang cadangan prosedur operasi standard (SOP).
“Pada masa ini kerajaan tiada perancangan untuk melaksanakan ujian tersebut sebagai salah satu syarat pelaksanaan konsert.
“Walau bagaimanapun, kerajaan akan meneliti keperluan dan kesesuaian sebarang cadangan dan perubahan SOP dari semasa ke semasa berdasarkan perbincangan dengan semua agensi serta semua pemegang taruh terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH- Sri Gading) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan sama ada kementeriannya ada perancangan untuk melaksanakan ujian air kencing sebagai sebahagian daripada SOP kepada pengunjung konsert bagi membendung pengambilan dadah.
Menurut Fahmi, Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) sudah menyediakan garis panduan sebagai rujukan kepada penganjur persembahan.
“Garis Panduan PUSPAL itu mengenai aspek-aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan dalam penganjuran suatu persembahan melibatkan artis luar negara.
“Antaranya ialah penganjur hendaklah mengambil apa-apa langkah yang perlu sebelum, semasa dan selepas persembahan bagi memastikan tiada aktiviti berkaitan rokok, minuman keras dan dadah di lokasi persembahan sepanjang tempoh persembahan,” katanya.
Jelasnya, keanggotaan Jawatankuasa PUSPAL terdiri daripada 16 kementerian atau jabatan atau agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Peranan PDRM dalam Jawatankuasa PUSPAL adalah untuk memberi pandangan dan nasihat dalam hal-hal berkaitan keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
OLEH : HANUM RAJAK