4 MAC : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diarah untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang Ramadan serta menjelang Aidilfitri.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini.
“Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Menteri KPDN bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.
“Dalam pertemuan ini, Perdana Menteri mengarahkan KPDN menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025 termasuk memastikan pemantauan dilakukan lebih kerap bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat sepanjang bulan ramadan dan aidilitfri menjelang tiba sentiasa mencukupi.
“Perdana Menteri mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sekiranya terdapat gangguan bekalan,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri menekankan agar KPDN lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan termasuk bagi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak.
Menurutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mengarahkan KPDN memantau harga makanan di bazar Ramadan.
“Selain itu, Perdana Menteri mengarahkan pemantauan harga makanan di bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.
“Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung di samping memberikan sokongan kepada peniaga kecil,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Anwar mengarahkan agar kekerapan Program Jualan Rahmah Madani ditingkatkan sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal nanti.
