6 MAC : Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkait akta anti lompat parti.
Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan bersedia meneliti perkara tersebut.
“Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan MADANI sehingga kini tidak mempunyai cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.
“Dalam pada itu, Kerajaan MADANI sentiasa bersedia bagi meneliti perkara ini dengan lebih lanjut bersama semua parti kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiar di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah baik Akta Anti Lompat Parti dan membentangkan Akta Pendanaan Politik di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam pada itu, Azalina berkata susulan masih tiada akta berkait dana politik, kerajaan melihat penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dapat mengurangkan risiko rasuah di negara ini.
Katanya, setakat ini Malaysia mengguna pakai peruntukan sedia ada untuk memantau perbelanjaan calon pilihan raya bukannya parti.
“Bagi menjawab soalan berkaitan dengan pendanaan politik, buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia sumbangan politik di Malaysia. Peruntukan sedia ada yang berkaitan adalah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perbelanjaan calon pilihan raya sahaja dan bukannya perbelanjaan parti.
“Selain itu, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hanya menetapkan supaya setiap pertubuhan termasuk parti politik untuk mengemukakan penyata kewangan kepada ROS.
“Maka, penggubalan cadangan RUU Pendanaan Politik ini dilihat dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik di Malaysia dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara,” katanya.
Jelasnya, kerajaan melaksanakan beberapa siri mesyuarat pada 2023 hingga 2024 dalam usaha penggubalan RUU Pendanaan Politik namun katanya terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara.
Ini termasuk seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik.
“Justeru itu, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bersama Setiausaha Agong semua parti politik. Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti mengenai cadangan penggubalan RUU ini serta membincangkan persoalan dasar yang timbul.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan daripada parti-parti politik kerajaan dan pembangkang melalui pihak universiti sebagai pihak neutral bagi memastikan keputusan yang diambil adalah inklusif dan melibatkan pelbagai perspektif,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK