6 MAC : Seluruh rakyat Malaysia diberi peringatan agar tidak membakar dan mengapi-apikan sentimen perkauman untuk menanam bibit kebencian di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan itu hari ini melalui Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, Anwar menegaskan perkara itu selepas menyedari wujudnya usaha jahat sesetengah pihak yang berkepentingan cuba menanam persepsi kononnya kerajaan pilih kasih (double standard) dalam bertindak terhadap individu yang menghina agama Islam.
“Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa. Tuduhan dan persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyenaraikan beberapa contoh kes yang sudah dikenakan tindakan termasuk melibatkan kes ‘ham’ yang tiada sijil halal, baru-baru ini.
“Mengambil beberapa contoh apabila kalimah Allah dipersendakan dalam jualan stokin, syarikat dan pembekal terlibat masing-masing didenda RM60,000. Seorang lelaki mempersenda kalimah Allah didenda RM12,000 dan dipenjara 6 bulan.
“Peniaga jagung bakar meletak notis perkauman didenda RM400 dan terbaharu Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000. Dalam kes saya senaraikan itu, jelas semuanya disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum.
“Kesemua tindakan tersebut adalah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara,” kata Tunku Nashrul.
Justeru itu, Tunku Nashrul berkata Anwar mengingatkan semua rakyat Malaysia agar menghentikan budaya mengina agama atau kaum di negara ini.
“Ini mesej yang tegas buat semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya dan kaum di mana-mana ruang di Malaysia.
“Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata Anwar memaklumkan Anwar tidak meneruskan persengketaannya dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim berkait kes saman fitnah.
“Perdana Menteri berhasrat untuk tidak meneruskan persengketaan ini atas semangat pada bulan Ramadan yang mulia ini agar kita mengambil pengajaran agar kita tidak bermudah dalam melemparkan sesuatu tuduhan kepada insan yang lain,” katanya.
Katanya, Anwar menegaskan amalan jelik seumpama itu mesti dihentikan dan tidak dibudayakan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Sesungguhnya, memaafkan itu tidak sama sekali merendahkan darjat manusia bahkan mengangkat kedudukan hamba di sisi Tuhannya.
“Amalan berpuasa mesti menjentik dhamir manusia agar kembali kepada fitrah asal kejadian termasuk menghidupkan wacana yang segar dan menolak amalan fitnah,” katanya.
Semalam, Anwar dan Ahmad Amzad bersetuju menarik balik tuntutan masing-masing di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu tanpa sebarang kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes saman fitnah tersebut.
Saman itu berkaitan dakwaan Anwar berbohong mengenai penerimaan gaji RM1 ketika berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
*OLEH : HANUM RAJAK