Anugerah diterima dorongan tingkat produktiviti : Fahmi
7 MAC : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menganggap darjah kebesaran yang diterimanya hari ini sebagai dorongan untuk beliau meningkatkan produktiviti kementerian dipimpinnya.
Beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah 2025, pagi tadi.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Fahmi bersama 31 lagi penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Dalam pada itu, Fahmi melahirkan rasa syukur atas penganugerahan itu.
“Saya bersyukur dan menjunjung kasih atas perkenan Tuanku mengurniakan darjah kebesaran ini.
“Insya-Allah, ia akan memberikan lebih semangat kepada saya dan pasukan untuk terus berkhidmat serta berusaha meningkatkan produktivit kementerian,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2025 yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
