7 MAC : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memastikan kes penghinaan terhadap agama Islam diheret ke muka pengadilan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata sesiapa yang terlibat akan disiasat mengikut lunas undang-undang.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh agensi di bawah seliaan kementeriannya terhadap penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait tindakan yang akan diambil kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perbuatan menghina agama tanpa pilih kasih.
“JAKIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dalam memastikan kes penghinaan Islam di bawa ke muka pengadilan.
“Mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Sepertimana proses siasatan dan pendakwaan kes-kes penghinaan Islam sebelum ini, ia menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian bernegara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Anwar memberi peringatan kepada semua rakyat Malaysia agar tidak membakar dan mengapi-apikan sentimen perkauman untuk menanam bibit kebencian di negara ini.
Peringatan itu dibuat selepas beliau menyedari wujudnya usaha jahat sesetengah pihak yang berkepentingan cuba menanam persepsi kononnya kerajaan pilih kasih atau ‘double standard’ dalam bertindak terhadap individu yang menghina agama Islam.
“Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa. Tuduhan dan persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas sama sekali,” katanya melalui Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), semalam.
Dalam pada itu, Mohd Na’im melahirkan kekesalan atas tindakan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini hingga mencetuskan kegelisahan awam adalah amat dikesali.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan proses siasatan yang berjalan.
“Semua pihak adalah diseru untuk menghormati undang-undang serta proses siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa demi kepentingan negara.
“Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Marilah kita semua membangunkan Malaysia Madani dengan semangat perpaduan demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penegasan bahawa setiap kes berkait 3R disiasat unit khas Bukit Aman tanpa pilih kasih.
Katanya, selepas melengkapkan kertas siasatan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), ia terserah kepada pihak pendakwaan untuk meneruskan kes atau sebaliknya.
*OLEH : HANUM RAJAK