DUN Perak tetap bersidang dalam tempoh kempen PRK Ayer Kuning
8 MAC : Kerajaan Negeri Perak tidak bercadang untuk meminda tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 22 April depan dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tempoh kempen pada PRK itu tidak akan menjejaskan persidangan DUN susulan dibantu jentera Kerajaan Perpaduan dalam proses tersebut.
“Saya rasa ia tidak mengganggu walaupun dalam tempoh sidang DUN kita berada dalam ‘mood’ berkempen.
“Ini kerana gerak kerja PRK akan dibantu jentera-jentera parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Perak 2024 di Laman Seri Ridzuan, hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRK DUN N48 Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April.
Sementara tarikh penamaan calon pada 12 April dan hari pengundian awal pada 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahrudddin, 59 rebah akibat serangan jantung selepas beraksi dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Beliau merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pernah mewakili Perak sekitar 1980-an dan 1990-an.
Allahyarham menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Ishsam dari UMNO mendapat 9,088 undi, PH 6,875 undi, PN 6,812 undi, Parti Sosialis Malaysia 586 undi dan Parti Pejuang Tanahair 105 undi.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mahu pengundi DUN tersebut membuat pilihan bijak bagi memastikan kerusi itu kekal milik parti kerajaan.
“Adalah pelik jika pengundi memilih untuk menjadi pembangkang di kawasan yang dikuasai kerajaan. Apa jua keputusan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan Kerajaan Perpaduan di Perak,” katanya.
Katanya, pembangunan berterusan DUN Ayer Kuning dilakukan sejak zaman Allahyarham Datuk Azman Mahalan (1986-2004), Datuk Samsudin Abu Hassan (2004-2022) dan Allahyarham Ishsam.