8 FEB : Pengagihan peruntukan bagi Parlimen Muar dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan, hari ini.
Menurut Fadillah, secara prinsip Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah menyatakan persetujuan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan.
Setakat ini katanya, hanya Syed Saddiq seorang yang bertemu dengannya bagi membincangkan soal pengagihan peruntukan Parlimen sementara masih tiada maklum balas daripada ahli Parlimen pembangkang yang lain.
“Secara prinsip dia bersetuju dengan beberapa perkara dan kita tengah perincikan di peringkat akhir dan ia akan dapat muktamadkan. Setakat ini, dia seorang sahaja yang memberi maklum balas.
“Syed Saddiq telah memaklumkan persetujuannya secara bersurat dan bersemuka…namun wakil rakyat pembangkang yang lain saya belum terima,” katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kuching, hari ini.
Bulan lalu, Fadillah berkata sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi mencari jalan keluar berkait agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang itu.
Katanya, kerajaan dan pembangkang perlu mencapai konsensus untuk pengagihan tersebut dibuat.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menolak memorandum persefahaman (MoU) yang dikemukakan kerajaan.
Namun pada September lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan kesediaan gabungan itu untuk berbincang semula sekiranya kerajaan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengulang penegasannya bahawa tiada sebarang syarat pernah ditetapkan untuk ahli Parlimen pembangkang menyokongnya bagi mendapatkan peruntukan.
