8 MAC : Kekurangan bekalan minyak masak botol dalam pasaran hari ini susulan terdapat syarikat yang mengurangkan pengeluaran berikutan kenaikan harga minyak masak mentah (MSM) dunia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengurangan pengeluaran itu berlaku sehingga 50 peratus.
Sehubungan itu, katanya intervensi segera kerajaan amat penting dalam memastikan bekalan minyak masak botol cukup untuk keperluan rakyat dalam tempoh tiga bulan ini.
Katanya, usaha ini penting bagi memastikan bekalan minyak masak cukup sempena perayaan yang akan disambut dalam tempoh berkenaan.
“Intervensi ini adalah penyelesaian jangka masa pendek segera melalui pemberian insentif khas, namun kita juga perlu fikirkan (penyelesaian) jangka masa panjang.
“Kita akan bincangkan dengan semua pihak terlibat bagaimana kita mahu tangani isu ini dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas Autoexpert (Sim@Pax) Hari Raya dan Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Papar, hari ini.
Katanya, kenaikan harga MSM direkodkan pada dua bulan pertama tahun ini, iaitu purata RM4,672.50 per tan pada Januari dan RM4,759 pada Februari.
Kenaikan berterusan itu menyebabkan syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengurangkan pengeluaran bagi mengawal kos kerana terikat dengan perintah harga kawalan maksimum.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kementeriannya, Kementerian Kewangan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta semua pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang untuk isu ini.
“Harga MSM meningkat tetapi kerajaan tetap mahu beri subdisi minyak masak peket dan tetap harga siling untuk minyak masal botol bagi bantu rakyat. Dalam masa sama kita faham kekangan dihadapi syarikat, jadi kita fikirkan jalan penyelesaian bagi imbangi keperluan kos sara hidup rakyat dan industri,” katanya.
*Foto: Facebook Armizan Mohd Ali