PM puji prestasi Wisma Putra, menteri angkat imej negara
10 MAC : Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberi kerajaan untuk mengangkat imej negara di pentas antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada warga kementerian itu.
“Terima kasih warga Kementerian Luar kerana dapat mengangkat ikhtiar dan usaha yang membanggakan serta dibebankan dengan tugas yang jauh lebih besar berbanding beberapa tahun sebelum ini.
“Pengalaman saya bersama-sama dalam kunjungan ke luar negara…ASEAN terutamanya beberapa negara luar, saya melihat prestasi membanggakan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar pada Ahad.
Beliau turut memuji Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang katanya berjaya mengukuhkan pengaruhkan di peringkat antarabangsa.
“Saya tak bergurau, ini adalah nota serius, apabila Perdana Menteri jemput, tidak semua duta datang tetapi apabila Menteri luar yang buat jemputan, saya lihat ramai hadir tanpa gagal.
“Ini secara tidak langsung membuktikan kekuatan dan pengaruh Menteri Luar, tahniah dan sekali lagi terima kasih,” katanya.
