10 MAC : Kerajaan sekali lagi memberi penegasan bahawa ruang untuk pembangkang berunding berkait peruntukan Parlimen masih terbuka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan pembangkang yang masih ‘bising’ di luar tanpa berunding terlebih dahulu.
Beliau juga membidas sesetengah ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa berhutang selepas tidak menerima peruntukan tersebut.
“Mesyuaratlah dulu, draf memorandum persefahaman (MoU) itu boleh dipinda. Ini nak bising di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dulu.
“Jadi sekarang ini, dia gunakan isu ini, riuh rendah. Ada mengatakan kami sampai miskin kerana hutang.
“Tahu berapa gaji ahli Parlimen dengan elaun kalau mesyuarat semua? Ia cecah RM30,000 ke RM40,000,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 di Menara Hasil di Cyberjaya, hari ini.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata blokny ada sebab tersendiri untuk menolak syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan urusan peruntukan bagi Ahli ParlimenMuar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tanpa pruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang, projek pembangunan rakyat di kawasan mereka tetap dilaksanakan tanpa sekatan.
Katanya, kerajaan tidak memberikan projek berkenaan kepada ahli Parlimen namun wakil rakyat terbabit berperanan untuk memberi cadangan.
“Jadi, untuk menyatakan rakyat terbeban itu, tidak benar dan untuk menyatakan ahli Parlimen jadi miskin, papa kedana…saya tidak tahu kalau RM40,000 itu miskin lagi.
“Kalau dengar syarahan mereka di Parlimen dan di luar Parlimen, seolah-olah ‘kami sampai kena hutang’.
“Hutang kalau beli kereta banyak tu, isteri banyak mungkinlah kena hutang tapi saya fikir, tidak perlu hutang,” katanya.
PN sebelum ini menolak draf MoU kerajaan kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama selain boleh disalah tafsir juga salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.