10 MAC : Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarah memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri bagi memberi bantuan berterusan kepada rayat yang terkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan itu, hari ini susulan banjir yang mula melanda di beberapa negeri.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Anwar memberi perhatian khusus kepada situasi banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak ketika ini
“NADMA juga diminta bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi penyaluran bantuan kepad aketua isi rumah (KIR) mangsa banjir yang terlibat,” katanya melalui taklimat itu yang disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim, petang ini.
Setakat petang ini, portal Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan lebih 4,000 mangsa banjir daripada 1,494 keluarga di Sabah dan Sarawak dipindahkan melibatkan 26 pusat penempatan sementara (PPS) bagi enam daerah.

Dalam pada itu, pada taklimat sama, Tunku Nashrul memaklumkan Anwar sekali lagi menepis dakwaan beberapa pihak yang masih memainkan isu terkait Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB).
Katanya, Perdana Menteri menegaskan undang-undang yang akan dibawa ke Parlimen kelak, tidak akan memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir dan tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera atau mengubah komposisi etnik di sesuatu kawasan
“Justeru, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utama ialah bagi memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri,” katanya.
Tunku Nashrul turut menyampaikan ingatan Anwar supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak ada asas sama sekali.
“Mengambil contoh terbaru, terdapat hantaran di laman sosial yang dibuat individu yang mengulangi naratif fitnah usang dan jahat yang bertujuan menimbulkan kegusaran awam mengenai laungan azan.
“Naratif seperti ini juga akan muncul setiap kali tibanya musim pilihan raya. Budaya seperti ini perlu dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Tambahnya, masyarakat juga digesa untuk tidak terus terpedaya dengan fitnah begitu yang mana madrasah Ramadan menyeru umat untuk mengangkat budaya berfikir dan menolak sebarang kegiatan yang memecah belah umat termasuk gejala fitnah.
*OLEH : HANUM RAJAK