10 MAC : Kesilapan juruterbang jet pejuang Tentera Udara Korea Selatan sah punca utama sebuah kampung dibom tanpa sengaja, Khamis lalu.
Memetik laporan agensi berita Yonhap, pengesahan itu dibuat Tentera Udara Korea Selatan dalam keputusan siasatan awal nahas yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam laporan itu menyebut dua jet pejuang KF-16 ‘tidak sengaja’ menggugurkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon semasa latihan tembakan langsung minggu lalu.
Dalam kejadian itu, 29 orang dilaporkan cedera termasuk tentera dan orang awam.
Tentera Udara dalam siasan awalnya mengesyaki salah seorang juruterbang itu memasukkan koordinat sasaran yang salah sebelum berlepas.
“Juruterbang pesawat pertama sepatutnya menyemak semula sasaran sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang proses tugasan namun tidak melakukannya,” kata Tentera Udara itu dalam satu kenyataan.
Katanya, juruterbang jet itu dapat merasakan laluan penerbangan sedikit berbeza berbanding latihan persediaan namun meneruskan pengeboman, tanpa mengesahkan koordinat bagi untuk memenuhi masa sasaran.
Tentera Udara berkata pihak atasan tidak memberi arahan khusus kepada juruterbang terlibat.
Ketua Staf Tentera Udara Korea Selatan, Jeneral Lee Young-su membuat permohonan maaf awam sambil menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
“Tentera Udara yang sepatutnya melindungi nyawa dan harta benda rakyat, mendatangkan bahaya kepada rakyat. Ia adalah nahas yang tidak sepatutnya berlaku dan yang tidak sepatutnya berulang,” katanya.