10 MAC : Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G mampu memainkan peranan besar dalam usaha meningkatkan hasil tanaman di negara ini.
Pada masa yang sama teknologi terkini itu juga mampu memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata melalui aplikasi terkini yang disokong teknologi 5G, operasi ladang dapat ditambah baik selain mengoptimumkan penggunaan sumber secara menyeluruh.
“Menerusi penyelesaian pertanian pintar, pemilik ladang sayur-sayuran dan durian dapat mengurangkan pembaziran sumber, mengawal ko, serta membuat keputusan lebih tepat dalam menilai risiko penanaman.
“Ini bukan sahaja meningkatkan hasil ladang malah memberi manfaat kepada pengguna dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Jelajah Digital: 5G Enable Agritech di Bentong, hari ini.
Program ini membuka peluang kepada pengusaha dan pekebun tempatan untuk meneroka inovasi digital untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing industri pertanian.
Selain itu, Gobind berkata transformasi digital amat penting dalam memastikan sektor perniagaan termasuk pertanian itu berdaya saing.
Katanya, ia selaras dengan perkembangan pesat teknologi yang dilalui ketika ini.