11 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tiga penyampai radio yang mencetus kontroversi baru-baru ini agar menjadi ejen perpaduan.
Mesej itu disampaikan Anwar kepada Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin Amir ketika bertemu pada Majlis Berbuka Perdana Menteri bersama Media di Angkasapuri, malam ini.
Memetik laporan Awani, ketiga-tiga penyampai itu akui berbesar hati dengan nasihat dan harapan yang disampaikan Anwar itu.
“Kedua, beliau juga minta kami untuk sampaikan mesej perpaduan, perbanyakkan mesej, kita hidup dalam negara harmoni, pelbagai kaum…majmuk.
“Jadi selalu dalam percakapan, perbuatan itu pasti kena perbanyakkan mesej perpaduan, itu yang beliau cakap kepada kami,” kata Nabil.
Terdahulu, Anwar meraikan kira-kira 500 pengamal media dari pelbagai agensi pada majlis tersebut.
Selain itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 veteran media yang menghadapi masalah kesihatan.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Awal hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan Radio Era FM dikompaun RM250,000 atas kandungan jelik melampau yang dimuat naik dalam akaun rasmi TikTok stesen itu.
Kandungan itu melibatkan tiga penyampai radio Era FM bagi program 3 Pagi Era yang didakwa mempersenda tarian kavadi dalam satu video.
