Kerajaan tidak hasrat ambil tindakan terhadap 3 penyampai Era
12 MAC : Kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap tiga penyampai radio ERA FM yang mencetus kontroversi, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketiga-tiga penyampai tersebut sudah melalui segala proses siasatan yang diperlukan.
Pada masa sama, katanya, tindakan juga sudah dikenakan terhadap pengendali stesen radio itu, Maestra Broadcast Sdn Bhd dengan kompaun sebanyak RM250,000.
“Saya percaya memang mendatangkan kesan yang negatif, termasuk kepada mereka. Jadi saya minta mereka bersabar, tenang dalam menghadapi dugaan besar ini dan saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kepada mereka, they have have gone through enough.
“Tindakan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dengan izin Jabatan Peguam Negara khususnya Timbalan Pendakwa Raya ialah untuk mengenakan kompaun kepada syarikat Maestra Broadcast Sdn Bhd ataupun MBSB, yang merupakan pemegang lesen MCMC. Sebagai pemegang lesen, terdapat beberapa perkara yang perlu mereka patuh,” katanya.
Fahmi berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Media di Angkasapuri, malam tadi.
Semalam, MCMC mengumumkan keputusan itu sambil memaklumkan untuk tidak menggantung lesen, Maestra Broadcast Sdn Bhd.
Keputusan itu kata MCMC dibuat selepas meneliti hujah-hujah dikemukakan dalam rayuan syarikat tersebut.
Menjelaskan pertikaian beberapa pihak yang membandingkan jumlah kompaun dikenakan terhadap Maestra Broadcasting Fahmi berkata denda dikenakan bergantung kepada akta yang digunakan di mana jumlah denda yang diperuntukkan untuk individu dan syarikat itu berbeza.
“Itu adalah di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang yang berbeza dan dia tidak melibatkan kandungan dalam talian atau pun pemegang lesen MCMC. Manakala ada juga yang membuat perbandingan dengan individu seperti Harith Iskandar dan Cecillia Yap yang dikenakan kompaun RM10,000.
“Mereka adalah individu bukan syarikat, bukan sendirian berhad. MakaTimbalan Pendakwa Raya berpandangan jumlah yang diizinkan itu sebanyak RM10,000 adalah munasabah.
“MCMC tidak mengambil tindakan sewenang wenangnya tapi akan berpandukan keizinan yang diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau sempat menasihatkan orang awam agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan bagi mengelak isu sama berulang.
Dalam pada itu, tiga penyampai berkenaan masih lagi direhatkan dan status mereka hanya akan diumumkan selepas siasatan dalaman selesai.

*Foto : Facebook Kementerian Komunikasi