12 MAC : Enam nama sudah disenarai pendek sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan mengumumkan nama calon yang dipilih untuk mempertahankan kerusi itu seminggu sebelum penamaan calon, bulan depan.
“Insya-Allah perbincangan telah saya adakan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi BN Perak.
“Enam nama telah disenarai pendek dan kita akan mengumumkan sempena dengan pelancaran jentera DUN Ayer Kuning. Insya-Allah kira-kira seminggu sebelum penamaan calon,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahrudddin, 59 rebah akibat serangan jantung selepas beraksi dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRK DUN N48 Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April.
Sementara tarikh penamaan calon pada 12 April dan hari pengundian awal pada 22 April.
Allahyarham menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz masih ahli UMNO setakat hari ini.
Ahmad Zahid berkata beliau dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu bertemu, minggu lalu.
“Beliau bertemu dengan saya minggu lalu dan saya beri pandangan, beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan sekarang kerana beliau adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja. Beliau juga adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dipilih dan menang, jadi beliau tidak perlu tergesa-gesa.
“Dalam keadaan itu, beliau bersetuju dengan saya dan insy-Allah setakat hari ini beliau masih lagi menjadi ahli UMNO,” katanya.
Tahun lalu, timbul spekulasi kononnya Tengku Zafrul akan meninggalkan UMNO selepas mendakwa tiada masa depan dalam parti tersebut.
Media juga melaporkan beliau dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat.
*Foto : Facebook UMNO Online
*OLEH : HANUM RAJAK