13 MAC : Kerajaan akan memperkenalkan program Sekolah Angkat mulai tahun ini bagi membantu sektor pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebanyakan sekolah di negara ini berdepan masalah pembangunan terutama melibatkan kantin dan tandas.
Malah Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbelanjaan untuk memperbaiki tandas sekolah di seluruh negara sahaja sudah mencecah RM1 bilion.
“Antara hal awal yang saya bangkitkan sebaik mengambil alih jabatan ini (kementerian kewangan) ialah memantau kedudukan sekolah.
“Banyak masalah sekolah, pembangunannya, kantin, tapi saya mula dengan tandas kerana itu pun dah cecah RM1 bilion. Saya kira selesai, bukan selesai semuanya.
“Malah ada sekolah di sekitar Kuala Lumpur, kita harus perbaiki jadi saya rasa caranya bagaimana. Nak harapkan jabatan kerajaan atau Kementerian Pendidikan sahaja tak terupaya.
“Seorang pegawai pendidikan daerah yang jelajah, 50 sekolah menengah, 60 sekolah rendah, sekolah agama, sekolah Cina, sekolah Tamil. Jadi kita anjurkan dengan perkenalkan program Sekolah Angkat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini.
Mengulas soal kerja penyelenggaraan tandas, Anwar melahirkan keyakinan usaha itu dapat diselesaikan demi keselesaan pelajar.
“Saya ada jawatankuasa, pemantauan dan rakan yang akan memberi laporan dan kita akan bantu sedaya upaya.
“Apakah contoh terbaik itu selesai? Saya rasa belum. Tetapi saya rasa boleh,” katanya.