14 MAC : Tindakan kerajaan mewajibkan premis kesihatan memapar harga ubat mulai 1 Mei depan bukan untuk mengawal harga.
Sebaliknya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan perintah melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) itu bagi memberi pilihan kepada pengguna.
Menurut Armizan melalui MKHU, rakyat mendapat akses maklumat harga ubat, membuat perbandingan harga serta pilihan premis kesihatan.
“Ingin saya tegaskan bahawa perintah ini adalah untuk memaparkan harga ubat dan bukan untuk mengawal harga ubat.
“Mekanisme ini sudah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober 2023 disusuli pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 8 Januari lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Bersama NGO Kepenggunaan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan hospital dan klinik swasta diarah memaparkan harga ubat di premis selaras dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Dalam pada itu, Armizan menegaskan langkah itu akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
“Selain memberi akses maklumat kepada pengguna, pemaparan harga ubat ini dilihat boleh membendung kadar inflasi perubatan Malaysia yang tinggi.
“Secara perbandingan, kadar inflasi perubatan Malaysia bagi tahun ini diunjurkan pada angka 15 peratus, lebih tinggi berbanding kadar purata 10 peratus bagi Asia Pasifik dan 11 peratus purata global,” katanya.
