14 MAC : Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dijangka bakal melalui satu rombakan besar yang bersifat berani.
Perubahan itu ikrar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke jika beliau dipilih semula dalam pemilihan parti, Ahad ini
Kata Anthony, rombakan besar-besaran dalam CEC itu bagi membuka laluan kepada pemimpin yang berlainan memimpin parti.
Namun Anthony menegaskan beliau tidak menyasarkan kepada mana-mana individu atau kedudukan tertentu.
“Kita akan melihat rombakan yang ketara dan desakan untuk kepimpinan yang lebih muda, tetapi ini tidak bermakna mengorbankan sesiapa.
“Ia hanya mengenai pemimpin yang mengambil peranan berbeza pada masa yang berbeza,” katanya dalam temubual bersama media di ibu pejabat DAP, hari ini, lapor Malaysiakini.
Pemilihan itu dijadualkan berlangsung Ahad ini di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam.
Dalam pada itu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan yakin perubahan itu akan diterima semua pemimpin DAP.
“Keadaan yang berbeza memerlukan keperluan dan strategi yang berbeza, dan saya percaya setiap pemimpin akan memahami keperluan untuk pelarasan sedemikian,” katanya.