‘Saya tak ambil gaji sebab nak tunjuk bukan semua menteri curi duit’
14 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakannya tidak mengambil gaji bagi membuktikan kepada rakyat, bukan semua menteri ‘mencuri duit’ rakyat.
Katanya, meski pun gaji itu haknya namun beliau tetap memilih untuk tidak mengambilnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin dalam pentadbirannya agar menghayati semangat Ramadan dan tidak menggunakan kelebihan serta kedudukan untuk menyeleweng termasuk mencuri wang kerajaan.
“Saya tak ambil gaji sebab apa? Saya nak tunjukkan bahawa bukan semua menteri curi duit… gaji itu hak, kalau orang ambil gaji itu haknya.
“Tetapi jangan curi, simpan di rumah-rumah lain….tak boleh…jadi Perdana Menteri, jadi Menteri Kewangan, kerjanya nak kayakan diri. Tak boleh! Kalau tidak negeri ini rosak,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Alaudin di Bagan Serai, hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan beliau bertanggungjawab menjaga duit rakyat dan memastikan ia kembali kepad rakyat.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saudara saudari kena faham…ada orang kata ini pasal dendam, marah. Saya sudah Perdana Menteri, hendak bergaduh apa lagi? Saya Perdana Menteri, tanggungjawab saya nak jaga duit rakyat ini supaya balik kepada rakyat.
“Saya fikir boleh beri RM100,000 untuk setiap kampung (geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) kerana kita ada upaya kalau kita tak curi dan sakau wang kerajaan,” katanya.
Katanya, pada bulan Ramadan yang suci ini, umat Islam perlu membentuk akhlak dan disiplin.
“Ini semangat Ramadan untuk bentuk akhlak, nilai, disiplin, tak tipu sebagai mana kita berpuasa kalau kita tipu, orang tak tahu namun Allah SWT tahu.
“Jadi madrasah Ramadan ertinya bentuk keyakinan dan kekuatan integriti, peribadi kita supaya betulkan nilai,” katanya.
*Foto : Facebook Hajah Nancy Haji Shukri