15 MAC : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak memanggil produksi bagi drama bersiri ‘Bidaah’ selepas ada adegan yang tular dan mencetus kegelisahan awam.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya membuat teguran kepada pihak berkenaan berkait satu klip video yang tular dan mencetuskan kontroversi itu.
Tegasnya, JAKIM mengingatkan pihak terbabit bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.
“Pihak penerbit akur dengan teguran dan bersedia memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pertemuan itu melibatkan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam JAKIM.
Menurutnya, keseluruhan kandungan drama tersebut termasuk episod yang masih belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.
Kata Sirajuddin, JAKIM sentiasa bersedia memberi pandangan dan rujukan kepada mana-mana karya dalam memastikan kandungannya bersesuaian serta selari dengan prinsip panduan agama.
“Islam tidak menolak kesenian bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat,” katanya.
Tambahnya, seni dalam Islam itu mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kebaikan dan tidak melalaikan atau mempromosi perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika.
“JAKIM menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada tahun 2015 merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran,” katanya.