19 MAC : Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) digubal bagi melindungi hak pemilik asal kediaman.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata melalui PSB, kerajaan mahu memastikan terutama orang Melayu yang miskin bandar hidup dengan lebih bermaruah.
“Ini bermakna tidak benar persepsi mengatakan undang-undang PSB ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera hilang tempat di bandar atau undang-undang ini memberi keutamaan kepada pemaju.
“Sebaliknya PSB ini digubal untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang, untuk melindungi hak dan mengangkat martabat rakyat terutama orang Melayu di bandar, untuk memastikan miskin bandar terutama orang Melayu hidup dengan lebih bermaruah ketimbang dibiarkan hidup berhimpit selama puluhan tahun tanpa penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PM) disiar secara langsung di Facebook, hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, RUU PSB merupakan penyelesaian kepada pergelutan antara rakyat dan pemaju yang berlaku sejak sekian lama.
Jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan prinsip utama PSB itu adalah rundingan dengan pemilik sebelum projek dijalankan.
“Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa antara prinsip utama PSB ialah projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik untuk mendapatkan persetujuan menyertai projek.
“Selepas persetujuan, pemilik akan menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat permbinaan dan selepas pembinaan diselesaikan,” katanya.
Menurut Tunku Nashrul, penjelasan itu susulan terdapat dakwaan mengatakan pemilik asal kediaman terutama orang Melayu dan Bumiputera akan hilang hak mereka apabila undang-undang PSB dilaksanakan.
“Ada juga persoalan mengenai bagaimana pemilik asal mampu untuk memiliki semula rumah yang diperbaharui dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit.
“ Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang sudah dibangunkan,” katanya.
Selain itu, nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi pemilik pula berdasar kepada nilai pasaran masa hadapan, sekali gus membantu pemilik memiliki semula rumah yang sudah diperbaharui, katanya.
Jelasnya, situasi itu berbeza dengan keadaan semasa di mana pampasan yang diputuskan perunding atau mahkamah berdasarkan nilai semasa.
“Ini menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan.
“Selain pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kaedah semasa, RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat diberikan kepada pemilik, antaranya bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran-bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan, sekali gus memastikan apa jua pembangunan semula menitikberatkan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan MADANI,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK