25 MAC : Kesemua agensi dan pihak yang terlibat diarah segera turun padang bagi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu beban ditanggung mangsa banjir dapat diringankan lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri yang bakal tiba.
“Perdana Menteri mengarahkan agensi dan pihak terlibat supaya segera turun padang membantu pengurusan pasca banjir bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir dalam membersihkan kediaman khususnya menjelang kehadiran Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Mengambil kira situasi di Johor dan Sabah yang kini beransur pulih, seharusnya semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan sektor swasta, menggembleng tenaga membantu mempermudahkan kesulitan dihadapi mangsa banjir ekoran bencana tersebut sehingga membawa kepada kerosakan harta benda, aset termasuk persiapan Aidilfitri yang sudah disediakan sebelum ini,” katanya.
Tunku Nashrul berkata demikian pada sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasmi Anwar, hari ini.
Keadaan banjir di seluruh negara kini dilaporkan mulai kembali pulih dengan angka mangsa terjejas menurun kepada 1,708 orang di Sabah dan Johor.
Di Johor, dua daerah yang masih dilanda banjir melibatkan Batu Pahat dan Pontian dengan 10 pusat pemindahan sementaran (PPS) masih beroperasi.
Seramai 641 mangsa daripada 197 keluarga masih berlindung di 5 PPS di Batu Pahat manakala 484 orang daripada 132 keluarga ditempatkan di 5 PPS di Pontian.
Sementara itu di Sabah, hanya daerah Beaufort masih terjejas dengan seramai 588 mangsa ditempatkan di 3 PPS daripada 170 keluarga.
*OLEH : HANUM RAJAK