26 MAC : Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi mengumumkan Insentif Rebat RAHMAH buat semua rakyat Malaysia sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata pemberian insentif itu berupa tambahan kuota data Internet minimum 5GB.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata insentif itu terpakai pada hari raya pertama dan sah dalam tempoh 24 jam.
“Sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan melaksanakan pemberian Insentif Rebat RAHMAH berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warga negara Malaysia sama ada prabayar mahupun pascabayar pada Hari Raya Aidilfitri pertama,” katanya pada sidang media mingguan, hari ini.
Menurutnya syarikat telekomunikasi yang terlibat adalah Celcom, Digi, Maxis, UMobile, TM Tech, YTL Communications, Harvocoms, Tune Talk, Red One, Red Tone dan XOXcom.
Pada sidang media sama, Fahmi berharap pemberian Insentif Rebat RAHMAH sempena Hari Raya Aidilfitri itu dapat membantu mengeratkan silaturahim terutama melalui komunikasi dalam talian.
Selain itu, katanya insentif tersebut ditanggung sepenuhnya oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Maklumat lanjut mengenai insentif itu bakal diumum syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi.