26 MAC : Orang ramai bakal menikmati diskaun tol 50 peratus pada 28 dan 29 Mac sempena perayaan Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan berita gembira itu selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Katanya, kerajaan memberi dua hari untuk orang ramai menikmati diskaun itu supaya pengguna lebuh raya tidak tergesa-gesa pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus bermula 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat), dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac (Sabtu).
“Kita beri dua hari (diskaun tol) supaya pengguna tidak tergesa-gesa dan boleh merancang sebaiknya perjalanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Ayer Keroh, hari ini.
Dalam pada itu, kata Nanta implikasi kewangan ditanggung kerajaan dianggarkan RM19.69 juta.
Menurutnya, diskaun tol 50 peratus itu hanya untuk kenderaan persendirian (Kelas 1) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Katanya, diskaun tol kali ini merupakan kesinambungan kepada pemberian pada musim-musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
“Ia adalah selaras dengan teras utama Kerajaan MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Justeru semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini,” katanya.