27 MAC : Pelbagai usaha dilaksana Kerajaan MADANI bagi memastikan kesejahteraan serta kebajikan rakyat terpelihara.
Ia termasuk dengan beberapa pengumuman-pengumuman yang menggembirakan rakyat seperti pemberian diskaun untuk bayaran tol, bonus raya untuk penjawat awam serta pemberian rebat RAHMAH apabila tiba musim perayaan.
Menyedari kos komunikasi masih menjadi kekangan, Kerajaan MADANI tampil dengan inisiatif istimewa pada tahun ini dengan memperkenalkan pemberian kuota data percuma minimum 5GB sempena Hari Raya Aidilfitri menerusi Insentif Rebat RAHMAH.
Inisiatif julung kali Kementerian Komunikasi dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu sejajar dengan aspirasi kerajaan yang menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat selain memastikan rakyat kekal berhubung dan mengkases Internet tanpa perlu risau dengan penggunaan data.
Rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik pemberian daripada kerajaan dengan menyifatkan ia sebagai langkah meringankan beban khususnya bagi individu yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga.
Seorang peniaga, Attiqah Solehah, 35 berkata pemberian kuota Internet tambahan pada hari perayaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat terutamanya pada era digital, di mana penggunaan Internet semakin menjadi keperluan utama dalam kehidupan seharian.
“Ramai yang menggunakan Internet untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan, terutama sekali yang berada jauh…pemberian kuota tambahan ini membolehkan lebih banyak komunikasi dan interaksi untuk mengeratkan hubungan walaupun tidak dapat berjumpa secara fizikal,” katanya kepada BBCPORTAL.

Seorang penjawat awam, Nuraini Athirah Badrul, 29 berkata pemberian data tambahan pada hari raya Aidilfitri memudahkan pengguna untuk berhubung dengan keluarga yang tidak berkesempatan untuk pulang beraya.
“Pemberian data tambahan ini amat bermakna buat saya untuk berhubung bersama suami yang terpaksa bekerja di perantauan pada hari raya ini…5GB data yang diberi amat berbaloi lebih-lebih lagi ketika berada di kampung pedalaman kerana capaian Internet di sana masih rendah.
“Inisiatif ini bermanfaat namun boleh diperbaiki dengan memberi tempoh yang lebih fleksibel kerana 24 jam agak singkat,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar Adib Talhah, 18 berkata data tambahan yang diberi membolehkan pengguna mengakses pelbagai kandungan secara percuma dengan lancar.
“Data tambahan ini membolehkan kita mengakses pelbagai kandungan secara percuma termasuk program menarik di TV dan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan insentif yang melibatkan kerjasama syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis, UMobile, TM Tech, YTL Communications, Harvocoms, Tune Talk, Red One, Red Tone dan XOXcom itu terpakai pada hari raya pertama dan sah dalam tempoh 24 jam.
OLEH : AISYAH BADRUL