28 MAC : Orang ramai diingatkan agar menyemak status tunggakan cukai sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata mana-mana individu atay syarikat yang gagal melunaikan tunggakan cukai boleh dikenakan sekatan perjalanan.
Tindakan itu di bawah peruntukan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 serta Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
“Sekatan perjalanan adalah langkah terakhir yang diambil sekiranya pembayar cukai masih gagal menjelaskan baki cukai selepas menerima pelbagai peringatan dan notis,” kata LHDN menerusi satu kenyataan.
Menurut LHDN, dengan membuat semakan status tunggakan cukai boleh mengelakkan sebarang masalah di pintu keluar negara.
Semakan tunggakan boleh dibuat melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/ dan status sekatan perjalanan melalui portal Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
LHDN berkata jika terdapat tunggakan, pembayar cukai disarankan untuk segera melunaskan bayaran atau menghubungi Pejabat LHDN bagi membincangkan kaedah pembayaran secara ansuran.
Kata agensi itu lagi, permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di MyTax.
Ia boleh dilakukan dengan syarat individu tersebut adalah warganegara Malaysia, melunaskan bayaran penuh dan sekatan dikenakan di bawah ACP 1967.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi LHDN Contact Centre melalui talian 03-8911 1000 atau mengunjungi Pejabat LHDN terdekat untuk mendapatkan bantuan lanjut.