Kementerian Pengangkutan telah menerima banyak laporan mengenai perkhidmatan tren KTM Komuter dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim yang terpaksa menghentikan perjalanannya setelah menghadapi masalah teknikal pada jam 6.17 pagi, 5 Mei 2020.
Apa yang sangat dikesali ialah apabila tren yang pada asalnya mempunyai enam (6) gerabak dan hanya 50% kepadatan penumpang terpaksa ditukar kepada tiga (3) gerabak seterusnya menyebabkan kesesakan sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penyelesaian masalah teknikal tren ini bagaimanapun telah mengakibatkan kesesakan yang melanggar peraturan PKP dan video berdurasi 10 saat yang dirakamkan oleh penumpang di dalam tren berkenaan turut tular di media sosial.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan telah memberikan teguran tegas kepada kakitangan dan pegawai yang telah membiarkan pelanggaran terhadap garis panduan kesihatan PKP ini.
Pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Kementerian Pengangkutan akan terus memantau situasi dalam perkhidmatan pengangkutan awam untuk memastikan kejadian sama tidak berulang dan aspek keselamatan serta kesihatan penumpang sentiasa diutamakan.