3 APR : Kerajaan Malaysia tidak bercadang untuk membalas tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan tarif 10 peratus dan mengenakan tarif timbal balik ke atas eksport negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata kerajaan berpendirian untuk mengekalkan semangat perdagangan bebas dan adil terhadap AS.
Namun kata MITI, kerajaan tetap memberi perhatian serius terhadap tindakan AS itu memandangkan ia berpotensi memberi kesan kepada perdagangan.
“MITI memandang serius perkara ini dan sedang berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa AS untuk mencari penyelesaian yang dapat mengekalkan semangat perdagangan bebas dan adil.
“Dalam mengekalkan semangat ini, Malaysia tidak mempertimbangkan untuk mengenakan tarif balas meskipun tarif AS memberi kesan kepada banyak negara dengan implikasi yang berpotensi besar terhadap perdagangan dan pertumbuhan global,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, AS mengumumkan tarif timbal balik baharu terhadap barangan import dari Malaysia dan pelbagai negara lain.
Menurut carta kadar tarif yang disiarkan, Malaysia mengenakan tarif 47 peratus dan AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus.
Dalam pada itu, MITI berkata melalui ‘National Geoeconomic Command Centre’ (NGCC), pihaknya akan menilai kesan pengumuman terkini itu dan mempertimbangkan strategi serta pendekatan menyeluruh bagi mengurangkan kesan tarif berkenaan terhadap ekonomi juga industri negara.
Menurut MITI, Malaysia akan menggunakan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) bagi mendapatkan manfaat perdagangan timbal balik dan meneruskan Perjanjian Perlindungan Teknologi dengan AS bagi memudahkan kerjasama teknologi tinggi dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa serta ekonomi digital.
Biro Analisis Ekonomi AS memaklumkan Malaysia berada di kedudukan ke-15 dalam senarai perdagangan AS dengan lebihan dagangan sebanyak AS$24.8 bilion (RM110.4 bilion) pada 2024.
MITI akui kenaikan tarif Trump itu menimbulkan cabaran besar kepada dinamik perdagangan global.
“Walaupun menghormati keputusan ini, Malaysia tetap percaya kepada pendekatan rundingan yang membina untuk mewujudkan hubungan ekonomi yang saling menguntungkan.
“MITI komited untuk melindungi kepentingan ekonomi Malaysia dan mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dengan AS,” kata kenyataan itu.
Dalam usaha mengurangkan kesan tarif itu, Malaysia sedang memperluas pasaran eksport selain memperkukuh kerjasama baharu dalam ASEAN.