7 APR : Asas kadar tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia disifatkan sangat lemah.
Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masih ada ruang untuk rundingan dengan AS berkait isu itu.
“Pengumuman tarif dengan asas yang saya anggap sangat lemah…umpamanya kaedah penentuan tarif yang diputuskan itu dan asasnya boleh dipertikai.
“Beberapa negara yang disebutkan, kalau tidak silap termasuk pulau-pulau yang hanya diduduki penguin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia perlu bertindak dengan berhemah dan meneliti sebarang pengecualian yang mungkin wujud dalam keputusan Presiden Donald Trump itu.
“Sebagai negara, kita tidak boleh terburu-buru. Ada yang mahu tindakan keras, tetapi kebijaksanaan jemaah menteri diperlukan untuk menilai keputusan secara terperinci dan menyemak pengecualian yang ada,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan akan segera berhubung dengan rakan sejawat dari negara ASEAN untuk menyatakan pendirian masing-masing.
“ASEAN harus tampil sebagai kelompok kukuh. Dengan 640 juta penduduk dan kekuatan ekonomi yang besar, rantau ini adalah antara yang paling aman dan pesat berkembang di dunia,” katanya.
Kata Anwar, negara perlu bersiap sedia bagi mengadapi sebarang kesan tarif itu lebih-lebih lagi 65 peratus hubungan dagang Malaysia dan AS adalah berkaitan eksport semikonduktor bernilai AS$100 bilion.
“Kita tidak mahu tindakan ekonomi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Fokus kita ialah untuk lindungi pekerjaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar selepas China dan Singapura dengan nilai dagangan dua hala tahun lalu mencecah RM324.9 bilion.