30 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak pernah lari dari matlamat perjuangan apabila membuka keahlian kepada kaum bukan bumiputera menyertai parti itu.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penyertaan ahli baharu dalam kalangan bukan bumiputera, adalah selari dengan Perlembagaan parti seperti dijelaskan Fasal 7 (Keahlian bersekutu), Fasal 8 (Pendaftaran Keahlian) dan Fasal 9 (Tanggungjawab dan Hak Ahli).
Menurut beliau, BERSATU memang mengalu-alukan hasrat mana-mana rakyat Malaysia yang ingin menyertai parti itu sama ada sebagai ahli biasa atau ahli bersekutu.
“Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU juga sedang mengkaji cadangan untuk menubuhkan Badan Ahli Bersekutu yang akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti.
“Oleh yang demikian, kenyataan dari beberapa pihak yang mendakwa BERSATU telah lari daripada matlamat asal dengan membuka keahlian kepada bukan bumiputera adalah tidak tepat.
“Sebagai sebuah parti politik yang berpandangan jauh dan inklusif, BERSATU mengiktiraf sumbangan serta peranan Ahli Bersekutu dan akan terus memperkasakan penglibatan dalam kalangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada 22 Julai lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan parti itu akan mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera, dapat bersama-sama memegang jawatan dan menyumbang idea.
Malah, Muhyiddin berkata usul itu sudah dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan jika diterima, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk meminda perlembagaan akan diadakan supaya sayap berkenaan dapat dibentuk. – Oleh HAIKA KHAZI