11 APR : Mana-mana individu yang sudah tidak lagi bersama parti wajar melepaskan sebarang tanggungjawab sebagai pemegang amanah yang diberikan sebelumnya.
Perkara itu dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
“Bila seseorang itu tidak lagi memegang jawatan dalam mana-mana organisasi, terutamanya organisasi politik yang telah mengamanahkannya untuk menjadi pemegang amanah, dia sepatutnya melepaskan,” katanya yang juga Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran Akademi Rel Pahang di Yayasan Pahang, hari ini.
Beliau mengulas tentang saman pemula difailkan UMNO bagi mendapatkan pengisytiharan pada sebidang tanah di Kuala Lumpur yang berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada UMNO.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan masih ada seorang individu masih belum menandatangani dokumen melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset parti.
Menurut beliau, tindakan tersebut sudah lama diambil namun hanya kini dilaporkan pihak media.
“Lama dah, kenyataan ini baru ditanya hari ini, jadi saya kena jawab,” katanya.
UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.