15 APR : Jenazah bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara jam 2.30 petang, hari ini.
Perdana Menteri kelima itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara, lapor Bernama.
Sebelumnya, Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni memimpin solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin.
Turut menghadiri majlis pengebumian Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Lah itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pak Lah menjadi pemimpin Malaysia kelima yang disemadi di bawah kubah Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Pemimpin lain yang turut disemadikan di situ sebelum ini adalah bekas Perdana Menteri- Allahyarham Tun Hussein Onn dan Timbalan Perdana Menteri – Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak Hussien dan Tun Abdul Ghafar Baba.
Terdahulu, penghormatan terakhir kepada Pak Lah berlangsung beberapa jam sekitar 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam, semalam.