Isu Jalur Gemilang: Kesilapan akhbar tidak boleh diterima
16 APR : “Kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang disiarkan pada muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.”
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan di akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.
Titah baginda, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara yang tidak boleh dipersendakan.
Sultan Ibrahim bertitah bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah baginda.
Baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Terdahulu, tular paparan muka hadapan akhbar bahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily bertarikh semalam yang menunjukkan Jalur Gemilang tidak lengkap iaitu tanpa bulan sabit disiar bersebelahan bendera China.
Akhbar itu kemudiannya membuat permohonan maaf atas kesilapan tersebut sambil menjelaskan ia kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
*OLEH : HANUM RAJAK