16 APR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) kesal dengan insiden akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan, semalam.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius perkara itu dan sudah memulakan siasatan serta merta dengan memanggil pihak akhbar berkenaan.
“KDN sudahpun memulakan tindakan siasatan serta merta dengan berpandu kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Berhubung dengan insiden ini, KDN telah memanggil pihak Sin Chew Daily pada hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan,” kata KDN dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular paparan muka hadapan akhbar Sin Chew Daily bertarikh semalam yang menunjukkan Jalur Gemilang tidak lengkap iaitu tanpa bulan sabit disiar bersebelahan bendera China.
Akhbar itu kemudiannya membuat permohonan maaf atas kesilapan tersebut sambil menjelaskan ia kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa kesilapan akhbar itu boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Sementara itu, KDN dalam kenyataan sama bertegas bahawa perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.
“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol sebaliknya ia lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan semua pihak.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa,” kata kementerian itu lagi.
Tegas KDN, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana yang diperuntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan.
“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” kata KDN lagi.
*OLEH : HANUM RAJAK