16 APR : Pemuda UMNO menuntut pihak yang menyiarkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam penerbitan akhbar Sin Chew Daily dikenakan tindakan tegas.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata permohonan maaf yang dibuat pihak pengurusan akhbar itu tidak mencukupi memandangkan kesilapan itu melibatkan kedaulatan dan maruah negara.
Dalam pada itu, beliau menggesa Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengambil tindakan sewajarnya terhadap akhbar itu supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain agar ia tidak berulang pada masa akan datang.
“Isu ini serius kerana membabitkan kedaulatan negara. Jadi, saya mohon Menteri Komunikasi tolong ambil tindakan terhadap syarikat akhbar berkenaan.
“Takkan didiamkan saja kerana bagi saya ia adalah satu penghinaan, apatah lagi dilakukan oleh akhbar yang sudah lama bertapak di negara ini,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, hari ini.
Terdahulu, tular paparan muka hadapan akhbar Sin Chew Daily bertarikh semalam yang menunjukkan Jalur Gemilang tidak lengkap iaitu tanpa bulan sabit disiar bersebelahan bendera China.
Akhbar itu kemudiannya membuat permohonan maaf atas kesilapan tersebut sambil menjelaskan ia kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Bulan sabit dalam Jalur Gemilang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.
Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap akhbar berkenaan.
Setakat ini, tiga laporan polis dibuat berkait insiden tersebut.