21 APR : Hubungan Malaysia dan Indonesia disaran tidak hanya menumpu kepada kerajaan dan perniagaan
Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata hubungan antara negara itu perlu lebih memfokus kepada hubungan antara rakyatnya.
“Rasa kebersamaan antara Malaysia dan Indonesia perlu dipertahan. Jangan kita hanya mengharapkan hubungan yang baik antara pemimpin dan nilai-nilai sentimental sahaja.
“Justeru, hubungan ini bukan hanya kerajaan dengan kerajaan, perniagaan dengan perniagaan tetapi lebih kepada hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya.
Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan,malam tadi, lapor Bernama.
Berkait isu tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), Ahmad Zahid berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia harus mendorong semua negara anggota blok itu untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani perkara berkenaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu disambut mesra Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin serta Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason.
Ahmad Zahid sempat berinteraksi secara langsung dengan rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja dan belajar di Indonesia dalam majlis itu.
*Foto : Facebook Mohamad Sabu