23 APR : Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam serangan bersenjata melibatkan pelancong di Kashmir, India.
Perkara itu disahkan Kementerian Luar atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Wisma Putra, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, memantau dengan teliti perkembangan insiden serangan di pusat peranginan musim panas Pahalgam itu.
Serangan di destinasi pelancongan popular global di India itu yang menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa, semalam.
“Berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa tempatan, tiada warga Malaysia yang terjejas dalam insiden berkenaan.
“Namun begitu, situasi semasa terus dipantau dengan teliti. Suruhanjaya Tinggi menjalinkan hubungan dengan ketua kumpulan pelancong Malaysia yang berdaftar dengan agensi itu dan kini berada di Kashmir.
“Ketua-ketua kumpulan berkenaan memaklumkan bahawa mereka selamat,” kata Wisma Putra.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan bersenjata terhadap pelancong di Kashmir, semalam.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, dilapor mengecam kekejaman itu dan berikrar mengheret pelaku ke muka pengadilan’
Sementara itu, Wisma Putra menegaskan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau situasi dan memastikan keselamatan semua warga Malaysia di rantau itu.
Dalam pada itu, warganegara Malaysia yang berada di kawasan itu dinasihat agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya.
Selain itu, Wisma Putra turut menasihatkan semua rancangan perjalanan yang tidak penting ke wilayah terbabit ditangguhkan buat sementara waktu.