28 APR : Pembangkang diingatkan agar berterima kasih dengan kerajaan atas bantuan yang disalurkan kerajaan untuk negeri ditadbirnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang hanya bermanis muka ketika meminta peruntukan.
Beliau mendakwa, situasi itu berlaku di semua negeri ditadbir pembangkang.
“Jangan bila minta dengan muka senyum tapi bila dah dapat, hentam Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semula. Jangan begitu, sebaliknya perlu berterima kasih.
“Saya tidak sebut nama individu atau tokoh politik di Kelantan, kerana ia turut berlaku di Kedah, Terengganu dan Perlis.
“Memang benar ada peruntukan perkapita yang diberikan, ada peruntukan harus disalurkan tetapi apa yang diberikan oleh Perdana Menteri itu adalah semangat di dalam Kerajaan MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di Gua Musang, hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata tiada salahnya berbeza pendapat namun beliau mencadangkan pembangkang agar mengubah sikap yang gemar mengeji kerajaan.
Katanya, pembangkang sepatutnya menunjukkan akhlak dan sahsiah politik yang baik dari segi perkataan dan perbuatan.
“Kita harus tahu bahawa akhlak politik kena baik, sahsiah mesti baik bukan saja dari perkataan tetapi tingkah laku. Tidak salah berbeza pendapat,” katanya.