28 APR : Seorang pempengaruh media sosial disiasat berkait penyebaran maklumat palsu dan cubaan mendedahkan maklumat peribadi tanpa kebenaran.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), siasatan dijalankan berikutan aduan diterima daripada orang awam dan individu berkenaan sudah dipanggil untuk dirakam percakapannya.
“Siasatan itu dibuat mengikut peruntukan Akta Komunikasi & Multimedia (AKM 1998).
“Bertindak atas aduan rasmi yang diterima, dua sesi rakamana percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Putrajaya pada 25 April dan 28 April 2025,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas MCMC, siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan institusi diraja dengan dakwaan tidak berasas.
Selain itu, terdapat juga cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terbabit serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya menjalankan siasatan tanpa mengira status mahu pun pengaruh inividu.
“MCMC menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengita status, populariti mahu pun pengaruh individu terbabit.
“Setiap siasatan dijalankan secara profesional berlandasrkan prosedur yang adil serta mengikut peraturan undang-undang di bawah AKM 1998 dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan,” kata suruhanjaya itu.
Orang ramai turut diingatkan bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada.
*OLEH : HANUM RAJAK