28 APR : Kerajaan menaikkan had pembelian beras putih tempatan 10 kilogram (kg) yang berharga RM26 daripada dua kampit kepada lima kampit bagi setiap transaksi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata keputusan untuk memberi kelonggaran itu dibuat selepas mengambil kira permintaan serta keperluan semasa pengguna terutama bagi ketua isi rumah (KIR) miskin.
Dalam pada itu, Mohamad juga memaklumkan setakat ini, 3.16 juta kampit beras 10 kg sudah diagihkan di seluruh negara.
“Sebanyak 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10 kg telah diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara setakat pertengahan April ini.
“Negeri-negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi. Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 2025 di Maeps, Serdang, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad memaklumkan jemaah menteri menzahirkan pujian kepada kementeriannya dan menyifatkan kawalan harga musim perayaan tahun ini sebagai antara yang terbaik dalam sejarah.
“Sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal yang lalu, kita telah menyaksikan kestabilan pasaran bagi barangan keperluan utama rakyat.
“Harga ayam, telur, sayur-sayuran, ikan dan daging kekal terkawal dan berpatutan, tanpa berlakunya lonjakan harga yang membebankan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Program Semarak Syawal 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 30 Mac lalu berjaya melepasi sasaran RM20 juta dengan catatan jualan RM21.43 juta.
Katanya, melalui program itu, pengguna dapat membeli barangan keperluan Aidilfitri dengan harga berpatutan dan pada masa sama membantu meningkatkan pendapatan petani serta usahawan agromakanan menjelang perayaan.