28 APR : Rusia mengisytihar gencatan senjata secara unilateral di Ukraine, selama tiga hari pada 8 hingga 10 Mei ini.
Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan perkara itu pada Isnin sempena ulang tahun ke-80 kemenangan ke atas Nazi Jerman.
“Sepanjang tempoh ini, semua pertempuran akan dihentikan,” Kremlin memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat atas alasan kemanusiaan.
“Rusia percaya pihak Ukraine juga perlu mengambil langkah yang sama,” kenyataan itu dipetik.
Setakat ini, masih tiada maklum balas secara terbuka dibuat Kyiv berkait perkembangan terbaharu ini.
Gencatan senjata itu diambil di tengah-tengah desakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu perang itu ditamatkan segera.