30 OGOS: Hari Kebangsaan ke-63 disambut dalam suasana penuh erti dan makna apabila seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum bersatu padu mengharungi cabaran kehidupan dan ekonomi akibat kesan COVID-19.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata kemerdekaan juga dihayati agar kita menjadi sebuah masyarakat yang bukan hanya fizikal yang merdeka malah ia perlu dengan perubahan jiwa, minda, sikap dan akhlak.
“Nikmat keamanan dan kehormonian dalam masyarakat majmuk yang kita kecapi pada hari ini tidak berlaku dengan semena-mena atau dengan sendirinya. Semua yang kita kecapi hari ini adalah berkat usaha pemimpin yang bijaksana, ulama yang mendidik, para perajurit yang berjuang.
“Menjadi tanggungjawab kita generasi pada hari ini untuk memastikan kemakmuran, keharmonian dan keamanan yang kita nikmati sehingga hari ni dapat dikekalkan dan dipelihara sebaik mungkin dengan penuh kerukunan,” dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata kemerdekaan juga dihayati agar kita menjadi sebuah masyarakat yang bukan hanya fizikal yang merdeka malah ia perlu dengan perubahan jiwa, minda, sikap dan akhlak.
“Saya berdoa agar kita semua dapat terus hidup dalam kepelbagaian, harmoni, seia-sekata, bersatu-padu dan terpahat perasaan kasih sayang yang kukuh kepada negara Malaysia bertepatan dengan tema sambutan iaitu Malaysia Prihatin.
“Semoga Allah limpah dan kurniakan kepada kita keselamatan, kemakmuran, keberkatan rezeki, kesihatan yang baik dan segala kebaikan. Selamat menyambut Hari Kebangsaan buat seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan Darul Naim,” katanya
Sementara itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, genap 63 tahun kemerdekaan, Malaysia telah mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sejak tanggal 31 Ogos 1957 yang lalu.
Ahmad Samsuri berkata, negara telah melalui pelbagai fasa perubahan serta anjakan terutama dari segi politik, pemikiran, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan sebagainya yang menjadikan kita lebih matang dan berdaya saing.
“Kemerdekaan bukan sekadar membelek buku sejarah dengan memperingati kisah dan pejuang-pejuang kemerdekaan, malah pengorbanan mereka wajar dihayati dalam konteks yang lebih luas. Begitu juga penjajahan bukan sekadar kolonial sahaja, namun berkait rapat dengan ideologi, minda dan pemikiran.
“Pembangunan sesebuah tamadun tidak tercapai jika terus terbelenggu dengan penjajahan ideologi dan tidak berpegang kepada jati diri negara, bangsa dan agama. Ia termasuklah mengabaikan penghayatan Rukun Negara sehingga membawa kepada anasir negatif yang merobek perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan itu Ahmad Samsuri mengajar seluruh rakyat Malaysia supaya menyelami maksud sebenar tema Hari Kebangsaan ke-63 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang menuntut semua pihak mengharungi cabaran getir bersama-sama tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.
“Di kesempatan ini juga, bersama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas nikmat kesejahteraan yang negara kita kecapi. Mari kita mengenang pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu dan sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Al-Fatihah.
“Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu,” katanya.