4 SEPT: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menghentikan fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semata-mata untuk mempertahankan amalan nepotisme dalam politik.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjalanan politik beliau adalah sama sekali tidak sama dengan apa yang dilalui oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Untuk makluman Tun M, saya tak masuk politik, tak masuk parti politik dan tak aktif dalam politik sebelum ayahanda saya meninggal dunia.
“Hanya selepas ayahanda saya pergi, saya diminta oleh parti UMNO untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) untuk menggantikan ayahanda,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Dalam sidang media semalam, Dr Mahathir turut menyamakan pembabitan Mukhriz dalam politik dengan anak-anak tokoh-tokoh politik lain termasuk Abdul Razak dan bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan dakwaan Pejuang ditubuhkan semata-mata untuk mengangkat anaknya menjadi Perdana Menteri.
Najib juga menuduh Dr Mahathir berbohong apabila menyatakan beliau tidak membenarkan anak-anaknya terlibat dalam politik dan meniaga di negara ini.
Beliau menjelaskan, Mukhriz menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Timbalan Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO dan Bendahari UMNO Kedah semasa bapa menyandang jawatan Perdana Menteri.
“Ketiga-tiga anak dia juga banyak meniaga dalam Malaysia semasa dia jadi PM dan memiliki lebih satu dozen syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN