9 MEI: Sebanyak tiga premis perniagaan diarah tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas pekerja mereka disahkan positif Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penutupan itu membabitkan sebuah kilang ayam di Negeri Sembilan; pasar raya di Kuala Lumpur dan tapak binaan di Jalan Ampang.”Seperti yang saya tegaskan bahawa jika berlaku dan didapati positif Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka serta Kementerian Kesihatan rasa perlu premis terbabit ditutup maka kerajaan arahkan supaya ia ditutup,” katanya.
Dalam sidang media harian hari ini, Ismail Sabri berkata, ladang ayam dan pasar raya terbabit di tutup untuk buat saringan ke atas pekerja mereka dan seterusnya membuat sanitasi di premis perniagaan berkenaan.
Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan hotel boleh mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang dikuarantin dan dikenal pasti merosakkan peralatan dalam bilik hotel.
Tegasnya, mana-mana individu tertakluk kepada peraturan dan undang-undang walaupun dikuarantin di hotel.”… terserah kepada pihak hotel untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu, jika mereka melanggar peraturan hotel dan sebagainya dari segi undang-undang,” ujarnya lagi.