15 SEPT: Kementerian Luar tidak akan melayan desakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar rundingan dilakukan dengan Filipina berhubung tuntutan negara itu terhadap Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, tuntutan Filipina itu bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan.
“Sebelum ini saya telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya.
“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Filipina,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini.
Pada 28 Ogos lalu, Mohd Shafie menggesa kerajaan Malaysia melakukan rundingan dengan Filipina berhubung tuntutan terhadap Sabah.
Menurut beliau, perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan dan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut.
Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka.
“Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas.
“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?” soalnya.
Beliau memberitahu, sebagai pemimpin Sabah, Mohd Shafie sepatutnya lebih tegas dan bukannya cuba memberi muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.
“Pendirian kerajaan Malaysia tetap kukuh – tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah!” tegasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN