16 SEPT: Kemunculan artis rock terkenal tanah air, Datuk Hattan menyuntik semangat jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru untuk berusaha dengan gigih memastikan kemenangan calon parti, Mohd Reduan Aklee.
Beliau turut memeriahkan suasana di Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Aru Timur dengan mempersembahkan beberapa buah lagu popularnya khusus untuk jentera BN di situ, malam tadi.
Seperti yang dijelaskan oleh Mohd Reduan dalam laman Facebook miliknya, selain Hattan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamad turut hadir.
Beliau menghargai kesudian Ahmad Zahid, Jeffery dan Hattan memberi ucapan yang memberangsangkan serta sokongan padu kepadanya.
“Semoga kehadiran kepimpinan ini dapat menyuntik dan menguatkan lagi sokongan masyarakat untuk mengundi anak jati DUN N.22 Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN