17 SEPT: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam penjualan balak dan pasir di Negeri Sembilan yang kini ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, terdapat kemungkinan kegiatan itu melibatkan pegawai tinggi di sebuah agensi kerajaan Negeri Sembilan.
Namun, apa yang menghairankan, bekas Ketua PKR Cabang Rembau itu mendakwa, kerajaan PH Negeri Sembilan seolah-olah cuba melindungi kegiatan yang merugikan hasil negeri.
“Sehubungan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok terhadap pegawai tinggi agensi kerajaan Negeri Sembilan terbabit.
“Hasil siasatan dan pemerhatian kami, kerajaan Negeri Sembilan dipercayai sudah sangat maklum tentang penyelewengan yang berlaku dalam agensi kerajaan tersebut,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Beliau memberitahu, laporan akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 11 pagi esok.
Badrul Hisham berharap SPRM akan menyiasat dakwaan berkenaan dengan segera kerana isu itu telah menjadi perbualan orang ramai di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, SPRM perlu bertindak segera bagi mengelakkan agensi kerajaan Negeri Sembilan itu mengalami masalah kewangan yang kritikal akibat ketirisan yang berlaku. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH